Wednesday, October 19, 2011

Kolej Swasta Jadi Sarang Penjenayah

Ini antara Awang Hitam yang Sara kerap terima emel.  

Betapa mudahnya pelajar warga asing khususnya dari benua Afrika untuk masuk ke negara ini, seterusnya menjalankan kegiatan berunsur jenayah dan seolah-olah dilindungi pula oleh kolej swasta tempat mereka belajar.

Modus operandinya, pelajar itu hanya perlu mendaftarkan diri di kolej terbabit tanpa diwajibkan menghadiri kelas. Mereka hanya perlu menduduki peperiksaan apabila tiba waktunya.

Jika gagal, mereka akan dibantu pihak kolej untuk memperbaharui visa kemasukan dan pas pelajar bagi menyambung pengajian sekali gus tinggal di negara ini.

Malah, terdapat pelajar asing yang cuba memperbaharui dokumen mereka lebih daripada sekali, meskipun tidak pernah hadir kelas dan disyaki terlibat dalam aktiviti jenayah seperti dadah, pelacuran dan penggubahan wang haram.

Kegiatan lima buah kolej swasta di ibu negara itu yang seolah-olah melindungi pelajar asing tersebut terbongkar apabila ia dikesan Jabatan Imigresen ketika membuat permohonan memperbaharui dokumen pelajar masing-masing.

Pihak Imigresen bagaimanapun menolak permohonan itu selepas mengesyaki pas beberapa pelajar tersebut disalah guna hasil siasatan terperinci ke atas rekod kehadiran ke kelas serta keputusan akhir peperiksaan.

Malah, ketika permohonan, pihak pengurusan kolej bersungguh-sungguh merayu supaya dokumen pelajar mereka diperbaharui, dipercayai kerana pelajar tersebut sudah membayar wang pengajian.

Monday, October 17, 2011

Felda - TV3 Tanggalkan Topeng Isa Samad

 
Petikan - Harakah Daily

Ketakutan dan kerisauan nampak jelas di raut wajah Isa Samad ( dalam rancangan Soal Jawab TV3 pada malam 12 Oktober 2011. Fakta-fakta diberikan sama sekali adalah sekadar alasan dan Warga Felda keseluruhannya berterima kasih kepada TV3 kerana menanggalkan topeng yang dipakai Isa Samad dan menampakkan sisi wajah kerakusan dan kedangkalan pengetahuan Isa Samad.

Gerakan-gerakan yang dimulakan oleh ANAK diketuai oleh saudara Mazlan Aliman dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menunjukkan bahawa Warga Felda tidak lagi meyakini UMNO sebagai pembela Felda yang sebenar, bermula pada hari pertama Isa Samad memulakan tugasnya sebagai Pengerusi Felda.

Meneruskan lagi kesinambungan perjuangan warga Felda dalam menentang kerakusan Isa Samad dan konflik-konflik yang ditimbulkan oleh beliau dengan restu Perdana Menteri, Warga Felda akan memulakan kempen Gelombang Jingga dengan penubuhan Gerakan Mansuhkan ISA 2.0.

Tujuan penubuhan Gerakan Mansuhkan ISA 2.0 ini adalah untuk menyatukan kumpulan-kumpulan peneroka, golongan belia Felda, golongan profesional kelahiran Felda serta NGO-NGO yang bersimpati dengan perjuangan warga Felda bagi menghalau Isa Samad dan konco-konconya dari agenda peribadi masing-masing.

Pelancaran dan penamaan Jawatankuasa Gerakan Mansuhkan ISA 2.0 akan diumumkan kelak melalui sebuah sidang akhbar yang dijangka diadakan dalam masa terdekat. NGO-NGO yang ingin turut bersama dan bersimpati dengan warga Felda diminta berhubung dengan Saudara Mazlan Aliman, Pengerusi ANAK yang dilantik sebagai Setiausaha Kehormat Gerakan Mansuhkan ISA 2.0.

Sementara itu, Warga Felda diseru memakai warna kebanggan kita iaitu warga jingga sekerap mungkin yang akan dijadikan permulaan sebuah gelombang bagi menumbangkan Isa Samad dan konco-konco korporatnya yang rakus. Menteri Besar - Menteri Besar di mana terletaknya tanah-tanah Felda Plantation yang cuba dicagarkan oleh Isa Samad kepada Felda Global Ventures selama 60 tahun diminta terus mempertahankan tanah masing-masing iaitu hak rakyat negeri dari cuba digadaikan di Bursa Saham.