Tuesday, June 22, 2010

Demi Sesuap Nasi


Dengan meningkatnya kos sara hidup kebelakangan ini, demi sesuap nasi manusia akan melakukan apa saja kerja. Namun hal sebegini tidak dirasai oleh golongan berada termasuklah golongan korporat dan ahli-ahli politik. Tetapi bagi masyarakat seperti kami, keperitan hidup semakin dirasai.

Ditambah pula kebelakangan ini harga barang-barang runcit naik mendadak. Barang-barang asas seperti beras, minyak masak dan lain-lain barang dapur naik tanpa dibendung oleh pihak kerajaan. Di setengah tempat pula gula sukar diperolehi. Golongan bawahan makin terasa desakan hidup. Orang-orang kementerian hanya tahu bercakap. Mereka tidak merasainya kerana setiap bulan dapat gaji.

Apabila Sara berbual dengan golongan bawahan, rata-rata bersungut kos sara hidup semakin meningkat. Pegawai rendah bersungut elaun sara hidup tidak mencukupi. Pihak persatuan nelayan pula bersungut tentang bantuan sara hidup kepada ahli-ahli mereka yang terhimpit akibat meningkatnya kos turun ke laut, sedangkan hasil tangkapan dimonopoli oleh peraih.

Dalam pada itu, Sara berpeluang berjumpa dengan beberapa orang warga mas yang menghidapi penyakit kronik di hospital kerajaan. Sara terasa sayu mendengar rintihan mereka dalam mendapat bantuan sara hidup selama menjalani rawatan. Rata-rata tidak mampu menanggungnya. Sehinggakan seorang pak cik meluahkan dia rela mati daripada menanggung sakit.

Suatu malam ketika Sara lepak di sebuah restoran berdekatan Ampang Point, Sara berpeluang berjumpa dengan beberapa orang artis-artis kita. Mereka ini terdiri daripada pelakon dan pengarah drama yang kurang ternama. Namun Sara rasa bangga dapat berkenalan dengan mereka. Tetapi di sebalik itu mereka bersungut sebenarnya kehidupan mereka sekarang ini hanyalah demi sesuap nasi saja.

Sara akan bercerita lebih lanjut tentang pergolakkan yang mereka hadapi dalam entri Sara seterusnya nanti. Salam dari Sara.