Sunday, June 27, 2010

Sara Hidup Penulis Skrip


Sara sengaja gunakan tajuk 'Sara Hidup Penulis Skrip' dalam menekankan kehidupan penulis skrip di tanah air kita. Rata-rata penulis skrip yang Sara jumpa mengeluh perit untuk sara hidup mereka dalam kerjaya itu. Kalau adapun hanya segelintir sahaja penulis skrip yang dapat sara hidup secara mewah. Tapi yang lain ibarat hidup segan mati tak mahu.

Kenapa boleh terjadi begitu? Apakah skrip mereka di bawah tahap mutu yang rendah? Karya mereka tidak menepati citarasa pihak produser atau stesyen TV? Mungkin ya, mungkin tidak!!

Kenapa Sara berkata begitu? Ini kerana pernah Sara temui karya asal yang dikatakan disediakan oleh penulis yang di bawah tahap rendah tapi diambil oleh produser dan diberi kepada penulis lain untuk buat skrip, tanpa pengetahuan penulis asal. Alih-alih karya beliau keluar kat TV.

Sebenarnya agak sedih juga bila berlaku hal sebegini. Itu tidak termasuk lagi ciplak menciplak dan macam-macam lagi. Dan sebenarnya di negara kita tidak ada suatu badan atau persatuan yang betul-betul boleh mempertahankan atau mendaftar karya asal seseorang sebagai satu hakcipta atau copyright.

Sara pernah kemukakan soalan ini kepada seorang Ketua Pengarah di sebuah kementerian. Jawapan beliau senang aje. Untuk mendaftar hakcipta sebuah skrip, penulis kena sediakan footage pengambaran karya tersebut sekurang-kurang sepanjang 5 minit.

Sara terdiam dengan jawapan beliau itu. Ini kerana Sara tahu mana penulis skrip nak cekau duit untuk adakan pengambaran selama 5 minit dalam mendaftarkan sebagai copyright. Dahlah harga skrip bukannya tinggi sangat.

Bayaran untuk sebuah skrip tele-movie hanya di antara RM3,000 hingga RM5,000 sahaja. Katakan penulis itu dibayar RM3,000 sahaja. Kalau setahun dia dapat tulis 10 skrip, dia baru perolehi pendapatan sebanyak RM30,000 setahun. Kita bahagi dengan 12 bulan, bermakna pendapatannya hanya RM2,500.00 sebulan.

Kalau tinggal di Kuala Lumpur dan sudah berkeluarga dengan pendapatan sebanyak itu, Sara rasa memang perit hidupnya. Mana nak bayar sewa rumah, nak bayar ansuran kereta dan sebagainya.

Tapi kebiasaannya bukan senang untuk seorang penulis boleh dapat sehingga 10 skrip tele-movie dalam masa satu tahun. Kalau paling lebih pun dia akan hanya berpeluang dapat dalam 4 atau 5 tele-movie.

Itupun kalau dia dibayar dengan harga terendah sebanyak RM3,000 seperti yang Sara nyatakan di atas. Sara dapat tahu ada produser yang hanya RM2,000 hingga 2,500 sahaja untuk sebuah skrip tele-movie. Seorang kawan Sara hanya dibayar RM1,800 sahaja untuk skrip tele-movie yang dia buat.

Seandainya penulis itu bernasib baik, bolehlah dia dapat satu atau dua siri berepisod setahun. Kalau siri episod untuk 30 minit biasanya penulis dibayar di antara RM800 hingga RM1,200 satu episod dan siri episod satu jam pula dibayar antara RM1,500 hingga RM2,000 sahaja. Tetapi biasanya hanya segelintir penulis skrip sahaja yang berjaya dapat peluang buat skrip berepisod.

Ada seorang kawan Sara proposal dia untuk siri 26 episod diluluskan. Dia congak RM800 x 26 episod dia akan dapat sebanyak RM20,800 dan bukan main seronok lagi dia. Tapi bila skrip dah siap, dia hanya dibayar RM350 x 26 jumlah RM9,100 sahaja.

Siri itu pula adalah adaptasi dari novel. Dia kena bayar pula RM100 satu episod kepada penulis novel. Akhirnya gigit jari dia.

Kesimpulannya kerjaya sebagai penulis skrip sepenuh masa memang perit juga untuk sara hidup. Lainlah kalau penulis itu ada kerja atau bisnes lain dan menulis skrip ini hanya sebagai sampingan sahaja.

Maka kerana itulah kita sukar mendapat skrip yang baik untuk siri-siri drama TV tempatan.

Entri seterusnya nanti kita bincang pula tentang penulis skrip yang jadi favorite stesyen TV dan produser.

4 comments:

dee said...

Great site Sara!

Sara said...

Thanks Deasy. Please come back as I'll be putting up more great posting on livelihood.

Elong Bujang said...

Semoga mendapat perhatian dari Kerajaan ...terus berkarya ...

Sara said...

Terima kasih sdra Elong Bujang.